( Sebuah kapal hilang di langit biru, ke mana perginya tiada yang tahu.)
Sebuah kapal hilang di langit luas,
Jatuhnya ke laut biru terbentang,
Kata segelintir manusia,
Jatuhnya di negara Rusia,
Respon kebanyakan manusia,
Doa-doa di facebook dan twitter,
Tiada putus-putus.
Sebuah kapal hilang di langit Ilahi,
Jatuhnya ia riuh satu dunia,
Membawa pelbagai asal penumpang,
Dari segenap penjuru dunia,
Begitulah jua reaksi dunia,
Membawa pelbagai pandangan tempang,
Dari segenap penjuru akal.
Sebuah kapal hilang di langit biru,
Ke mana perginya tiada yang tahu,
Ini aturan manusia penguasa,
Kata segelintir manusia yang punya,
Rasa memiliki pengetahuan yang lebih.
Sebuah kapal hilang di langit indah,
Langit bumbung seluruh manusia,
Ini aturan yang maha berkuasa,
Kata mereka yang percaya kepada kuasa,
Daripada yang maha kuasa,
Tidak mahu ketinggalan memberi pendapat.
Sebuah kapal hilang ke mana,
Tiada siapa yang lebih tahu,
Berbanding orang yang benar-benar tahu,
Namun manusia yang tidak tahu ini,
Seakan-akan lebih tahu gamaknya,
Merasakan mereka yang paling benar,
Berhujahkan hujah laman sosial,
Dunia ini pasti akan lebih senyap,
Jika manusia yang tidak tahu itu,
Tidak lantang memberitahu dunia,
Bahawa dia punya pengetahuan,
Tiada dimiliki manusia lain.
Ke mana jua hilang sebuah kapal itu,
Sudah pasti tidak terlepas,
Daripada keluasan pengetahuan Tuhan,
Itu aku pasti,
Jika kehilangannya aturan manusia,
Jangan dilupa aturan manusia itu,
Lebih kecil berbanding aturan Tuhan.
No comments:
Post a Comment